Rabu, 28 Julai 2010

Informasi -Tukang Karut

Maaf kerana kurang lewat memasukkan informasi baru. Saya terlibat dalam pertandingan bola sepak antara sekolah. Namun kami kalah dan tidak berjaya ke peringkat separuh akhir.

Kini, bolehlah saya memberi tumpuan kepada blog ini.

Tukang Karut

Hari ini saya dapat kejutan! Saya cuba mencari maklumat lebih mengenai Tukang karut di internet. Alangkah terperanjatnya saya apabila saya mendapati bahawa guru saya merupakan seorang tukang karut yang hebat di Singapura. Patutlah apabila saya katakan saya mahu membuat kajian tentang dikir barat, dia hanya tersenyum saja! Hari Jumaat ini saya ada kelas bahasa Melayu. Saya akan bertanyakan pengelamannya pula.

Mengenai Tukang Karut, saya dapat tahu bahawa seorang Tukang Karut perlu mampu menghibur orang ramai dengan telatahnya. Pada masa yang sama, dia juga perlu menyampaikan mesej yang positif dalam nyanyiannya.

Antara Tukang Karut yang terbaik dari Malaysia termasuklah Encik Seman Wau Bulan dan Cikgu Sulizi.

Di Singapura, terdapat ramai Tukang Karut yang terkenal. Mereka mampu membuat persembahan secara spontan. Antaranya termasuklah Cikgu R Azman dari kumpulan Dendang Mutiara, Abang Isa dari kumpulan Andika Kencana dan juga Abang Mohd Noh dari kumpulan ChuChu Dato' Merah. Tidak melupakan guru saya sendiri, Cikgu Djohan yang pernah memenangi pelbagai anugerah Tukang Karut Terbaik. Hari Jumaat ini, saya akan menemu ramah beliau untuk mengetahui dengan lebih dalam ciri-ciri seorang tukang karut yang baik.

Saya pula yang ghairah !

Jumpa Jumaat nanti. :D

Khamis, 15 Julai 2010

Informasi - Tok Juara

Saya dapat tahu, terdapat pelbagai lelaman di internet yang saya boleh kunjungi untuk mencari bahan mengenai dikir barat. Saya pun cuba menggunakan enjin pancarian Google. Di sana saya terjumpa akan website yang berikut :

www.megaperdana2010.blogspot.com

Saya dapat tahu bahawa satu pertandingan peringkat kebangsaan baru saja berlalu pada 9 Julai 2010. Kalaulah saya dapat pergi menonton pertandingan itu, pasti saya boleh mendapat lebih banyak maklumat.

Apapun, saya akan mencari lebih banyak maklumat mengenai pertandingan itu.

Tok Juara

Hari ini saya akan berkongsi tentang maklumat yang saya dapat mengenai Tok Juara. Seorang Tok Juara wajib mempunyai mutu suara yang baik dan lunak untuk didengar. Beliau juga harus mempunyai kebolehan untuk menghafal senikata lagu.

Di Malaysia, seorang Tok Juara selalunya mempunyai suara yang mirip dengan orang yang sedang mengaji. Antara Tok Juara yang baik termasuklah Encik Arifin Ana, Encik Daud Bukit Abal, Encik Zaidi Buloh Perindu dan Encik Mat Udy.





Tok Juara hebat dari Kelantan,
Abang Zaidy Buloh Perindu



Di Singapura, memandangkan usia mereka yang agak muda, suara Tok-tok Juara tidak seperti orang yang sedang mengaji. Namun, suara mereka tidak kurang lunaknya. Antara yang terhebat termasuklah Abang Idham Ta'al dari kumpulan Sri Teruna Jaya, Abang Munir dari kumpulan Kelana Purba, Kak Siti Mariam dari kumpulan Srikandi Tiara Widjaya dan Abang Elfi dari kumpulan Durbar Dua.





Tok Juara kumpulan Srikandi Tiara Widjaya,
Kak Siti Mariam


Tok Juara akan memulakan persembahan, selepas adegan tepuk panjang.
Selepas itu, barulah Tukang Karut akan beraksi.

Saya akan menyelidik tentang Tukang Karut dan segala informasi akan saya kongsi sama selepas ini. :D














Isnin, 12 Julai 2010

Sejarah :D

Lama juga saya tidak memasukkan apa-apa di blog ini. Maklum saja, saya perlu melakukan tugas sekolah yang lain. Namun, saya sempat membuat kajian tentang sejarah dikir barat.

Ringkasannya - Sejarah Dikir Barat


Dikir barat dimulakan oleh sekumpulan pengembala kambing di kawasan Selatan Thailand. Dikir barat dimulakan dengan nyanyian serta tepukan, ketika mereka berteduh pada waktu tengah hari.




Seorang pengembala kambing.




Dikir barat kemudian dikemas kini oleh Pak Salleh yang berasal dari kawasan Tapang. Bermula dari situlah dikir barat mula berkembang.

Seorang aktivis buta yang bernama Ariffin Ana telah membuat beberapa pembaharuan, seperti memasukkan gong dan canang dalam persembahan.

Maka jadilah dikir barat seperti yang kita nampak hari ini.




Gong yang diperkenalkan.



Di Malaysia, dikir barat merupakan seni budaya yang diambil serius. Mereka yang terlibat terdiri daripada golongan orang-orang dewasa. Tapi di Singapura, golongan remaja yang lebih banyak mengambil bahagian dalam seni ini.

Kajian seterusnya, saya akan melihat dengan lebih dalam tentang:

  1. Tok Juara
  2. Tukang Karut
  3. Awak-awak
  4. Senikata
PS:
Tak sangka, banyak juga perkara baru yang ada dalam dikir barat !

Rabu, 30 Jun 2010

Jejak Pertama

Hari ini, guru telah memberi saya kerja untuk mencari informasi tentang dikir barat. Dikir Barat merupakan satu seni yang saya pernah berkecimpung ketika saya berada di sekolah rendah. Pada masa itu , saya menjadi seorang ahli yang sangat penting. Saya menjadi seorang Tukang Karut.

Saya diminta mencari informasi tentang dikir barat di internet. Saya tidak sabar untuk memulakan projek ini. Saya harap saya dapat melakukan yang terbaik.




Mungkin saya secomel ini dahulu?
:)